My Dream Come True..

My Dream Come True..

Jumaat, 8 Mei 2009

Kerja sebagai ibadat

ISLAM mewajibkan umatnya berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan di dunia tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat seperti dijelaskan dalam al-Quran melalui surah Al-A’raaf ayat 10.Ertinya: “Dan sesungguhnya kami menetapkan kamu (memberi kuasa) di bumi dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur,”.

Daripada Ibnu Umar RA sudah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman.”Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup di dunia. Bagaimanapun, Islam dalam masa sama melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara itu dijelaskan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Qisas ayat 77:Ertinya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.“Dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah SWT) sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan,”.

Islam sudah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat dan Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya’ Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaitu:a. Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah SWT. Seperti disabdakan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat. Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan,” (Riwayat Abu Daud).b. Kerja yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah SWT.Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka,”.c. Kerja dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh,” (Riwayat At-Tabrani).d. Kerja berkenaan tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah SWT seperti solat, puasa, amanah dipertanggungjawabkan dan sebagainya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan. Pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya,” (Riwayat Muslim).Oleh itu, umat Islam perlu bertekad selain menguatkan azam bagi meningkatkan kualiti kerja supaya ia dinilai sebagai ibadat oleh Allah SWT.Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman-Nya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.”

Tiada ulasan: