My Dream Come True..

My Dream Come True..

Jumaat, 29 Mei 2009

Tiga punca kesesatan

AL-QURAN memberitahu, kejahatan muncul melalui tiga jalan iaitu mengikut kemahuan sendiri, nenek moyang tanpa berfikir dan kepatuhan bukan kepada Allah.

Jalan pertama ialah kemahuan diri sendiri. "Kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu; dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsu dengan tidak mendapat petunjuk Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.(al-Quran, surah al-Qasas: Ayat 50)

Maksud ayat di atas memberikan erti faktor terbesar penyebab kesesatan manusia adalah dorongan hawa nafsu sendiri. Sama sekali tidak mungkin bagi seseorang untuk menjadi hamba Allah, sedangkan dia masih menuruti hawa nafsunya. Dia akan terus memikirkan pekerjaan yang mendatangkan wang, usaha yang membawa kemasyhuran dan penghormatan kepada dirinya, bahkan mengejar apa saja memberikan kesenangan dan kepuasan.

Pendeknya, orang terbabit sanggup menempuh segala rintangan dengan pelbagai cara untuk mencapai tujuan terbabit, tanpa mempedulikan larangan Allah.Mereka tidak teragak-agak menipu, rasuah dan manipulasi asalkan kehendak nafsunya tercapai.Bagi orang ini, perintah tinggal perintah.

Jadi, Tuhan bagi orang seperti itu ialah dirinya sendiri, bukannya Allah Yang Maha Agung. "Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqan: Ayat 43-44)Menjadi hamba hawa nafsu adalah lebih jelek daripada menjadi haiwan.

Jika melihat alam haiwan, tiada seekor pun yang mahu melanggar batas ditetapkan, bahkan rantaian kehidupannya hanya melaksanakan peranan yang ditentukan Allah.Tetapi manusia yang mempunyai segala-galanya apabila sudah menjadi hamba nafsu akan melakukan tindakan yang lebih 'hebat' bahkan membuatkan syaitan 'gementar.'

Jalan kedua menuju kesesatan ialah menuruti adat kebiasaan, kepercayaan dan pemikiran, malah amalan dan upacara kuno nenek moyang secara membuta tuli dan menganggap ia lebih penting daripada perintah Allah.Apabila perintah Allah dibacakan, orang yang suka menjadi pak turut nenek moyang akan bersikap keras dan hanya melakukan amalan biasa.Bagaimana orang yang terkena penyakit ini akan dapat menjadi hamba Allah? Tuhannya adalah nenek moyang, kaum keluarga dan suku bangsanya.

Apakah hak bagi dirinya untuk mendakwa yang dia adalah hamba Allah?"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: (tidak), bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukannya. Patutkah (diikut) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham suatu apapun."(Surah al-Baqarah: Ayat 170)Jahatnya kesesatan itu adalah sedemikian rupa, sehingga semua orang menjadi dungu di setiap zaman akibat terkena cengkamannya.

Kepada anak cucu diingatkan menjaga pantang larang, kononnya mengelak musibah.Tetapi sebenarnya kesesatan menuruti kepercayaan karut marut nenek moyang itulah musibah terbesar, cuma ia tidak dimengertikan. Kesesatan mencegah mereka menerima petunjuk dari Allah, sehingga yang terang lagi bersuluh tidak kelihatan.

Ketika Nabi Musa a.s mengajak kaumnya mengikuti syariat Allah, mereka menjawab: "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya?" (Surah Yunus: Ayat 78)

Jalan ketiga menuju kesesatan ialah kepatuhan kepada selain Allah, seperti mengikuti setiap kata dan perintah manusia yang jelas menyisihkan perintah Allah."Dan jika engkau menurut kebanyakan orang di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(Surah al-An'am: Ayat 116)Maksud ayat di atas memberikan penjelasan bahawa manusia hanya boleh berada di jalan lurus apabila kita menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan yang satu.

Lima jenis sabar


SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi. Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.


Ahad, 17 Mei 2009

Memancing di OBS


Salam semua..

Dlm sejarah hidup aku..selama 34 thn bnafas di dunia yg indah ini..pertama kali aku pegang joran pancing. Tanggal 17hb Mei 2009, tepat jam 3.00 ptg, aku melabuhkan mata kail ke dalam dasar pantai Sekakap,Mersing. Best jugak acara memancing ni..harap-harap x jadi hobi akan datang.

Memancing adalah salah satu hobi yang memerlukan kesabaran yang tinggi. orang mcm aku ni mmg jenis x sabar..so aku bukan la tergolong dlm kumpulan pemancing.

Mazrul dapat ikan todak 70 gram & diisytiharkan sbg JOHAN mendapat hadiah sbyak Rp300,000.00

Jumaat, 8 Mei 2009

Kerja sebagai ibadat

ISLAM mewajibkan umatnya berusaha dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan di dunia tanpa mengira jenis pekerjaan asalkan bertepatan dengan syariat seperti dijelaskan dalam al-Quran melalui surah Al-A’raaf ayat 10.Ertinya: “Dan sesungguhnya kami menetapkan kamu (memberi kuasa) di bumi dan kami jadikan untuk kamu padanya berbagai jalan penghidupan supaya kamu bersyukur tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur,”.

Daripada Ibnu Umar RA sudah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak diterima iman tanpa amal dan tidak diterima amalan tanpa iman.”Islam amat tegas dalam soal mencari nafkah hidup di dunia. Bagaimanapun, Islam dalam masa sama melarang manusia mementingkan dunia sehingga melupakan urusan akhirat. Perkara itu dijelaskan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Qisas ayat 77:Ertinya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.“Dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah SWT) sebagaimana Allah SWT berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan,”.

Islam sudah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat dan Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya’ Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iaitu:a. Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah SWT. Seperti disabdakan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat. Dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dinilai berdasarkan apa yang diniatkan,” (Riwayat Abu Daud).b. Kerja yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah SWT.Rasulullah SAW bersabda: “Manusia yang paling rugi pada hari kiamat ialah orang yang menerima rezeki dari sumber pekerjaan yang haram hingga mereka masuk neraka,”.c. Kerja dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh,” (Riwayat At-Tabrani).d. Kerja berkenaan tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah SWT seperti solat, puasa, amanah dipertanggungjawabkan dan sebagainya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan. Pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya,” (Riwayat Muslim).Oleh itu, umat Islam perlu bertekad selain menguatkan azam bagi meningkatkan kualiti kerja supaya ia dinilai sebagai ibadat oleh Allah SWT.Semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Firman-Nya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sudah tetap kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.”

Rabu, 6 Mei 2009